Isnin, 9 April 2012

Kes berat yang sepatutnya tidak terjadi

Ini adalah catatan seorang guru yang tersalah posting. Pihak-pihak bertanggung jawab sepatutnya tidak melakukan perkara yang menindas sebegini. YSYI mengutuk perkara seumpama ini terjadi. Tulisan ini diambil dari blog peribadi guru berkenaan tetapi sengaja tidak disiarkan alamatnya di atas beberapa sebab yang mungkin menjadi privasi
 
 
Sekadar Luahan

Assalamualaikum. Terasa terpanggil pulak hendak meluahkan rasa yang sudah terpendam hamper tiga bulan ini. Rasa? Hehehe.. bukan tidak puas hati, atau sakit hati, atau iri hati atau apa jua yang berkaitan dengan hati. Tetapi sedikit terkilan dengan proses pembahagian yang dijalankan.


Pembahagian? “Apa pulak kau merepek ni?” Hehehe… sebenarnya, saya sedang memikirkan entah di mana silapnya… siapa yang silap… apa yang silap… hinggakan saya dan beberapa orang yang senasib dengan saya menerima ujian yang sama.  Mana tidaknya, SAYA, dan beberapa orang lagi guru yang bermasalah penglihatan (tidak mempunyai penglihatan langsung atau mempunyai penglihatan terhad), yang mempunyai kelulusan pengajian dalam pendidikan khas, Pengkhususan Masalah Penglihatan, atau sekurang-kurangnya mempunyai kelulusan dalam bidang pendidikan, (sama ada diploma/ijazah sarjana muda/ijazah sarjana), (bukan bertujuan bermegah-megah dengan sedikit kelulusan yang ada, namun sekadar hendak menunjukkan pengkhususan sahaja), yang jika difikir-fikirkan wajarlah ditempatkan di Sekolah Pendidikan Khas (SPK)/Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Masalah Penglihatan, kini ada ditempatkan di Program Pendidikan Khas Integrasi Masalah Pembelajaran (selepas ini saya tulis sebagai PPKI LD sahaja).


 
Bila ditanya mengapakah saya ditempatkan di PPKI LD ini? Jawapan mereka yang bertanggungjawab, SPK/PPKI Masalah Penglihatan yang tuan/puan mohon tiada kekosongan. Jika tiada kekosongan, mengapakah diluluskan permohonan pertukaran saya? Apakah butang kelulusan ditekan terlebih dahulu dalam borang permohon Online saya baru disemak sama ada terdapat  ruang kosong di SPK/PPKI Masalah Penglihatan tempat permohonan saya itu? Sedangkan permohonan saya itu jelas, memenuhi semua kehendak dan keperluan mereka sama ada untuk meluluskan atau pun tidak.


Bila ditanya lagi, alasan selanjutnya diberi ialah tidak mengetahui saya ini guru yang bermasalah penglihatan. bagaimana tidak mengetahui saya ini guru bermasalah penglihatan, sedangkan saya telah mencatat di ruang “sebab pertukaran” bahawa saya ialah guru bermasalah penglihitan. Adakah mereka tidak membaca setiap sebab pertukaran yang dikemukakan sehingga tidak mengetahui saya ini adalah guru bermasalah penglihatan?  bagaimanakah sebab-sebab yang dikemukakan oleh guru-guru lain dalam borang pertukaran mereka itu? Adakah tidak dibaca jugakah? Atau, bagaimana hendak diketahui seseorang guru itu mempunyai kecacatan atau tidak sedangkan pernyataan untuk menunjukkan fizikal seseorang guru itu tidak disisipkan ke dalam borang online itu?


Wooo.. penatnya membebel. Itu semua soalan-soalan yang “saya” lontarkan kepada mereka yang bertanggungjawab. Alasan yang akhirnya diberikan ialah mereka terlepas pandang. Hmmm… tak faham, tak faham… tiada alasan yang mampu lagi diberi, entah bila mereka bermesyuarat, bila ditanya lagi, jawapan yang diberi, mereka tidak mahu guru-guru yang bermasalah penglihatan ini ramai sangat dalam sesuatu SPK/PPKI Masalah Penglihatan, cukup hanya dua orang sahaja setiapSPK/PPKI Masalah Penglihatan. Beberapa alasan lain yang diberikan kemudiannya untuk menyokong faktanya itu yang menyebabkan hati dan perasaan saya yang sudah sekian lamanya sensitif ini terguris dan terkilan. Entah dari mana fakta kenyataan itu mereka peroleh, saya tidak pasti.


Bagi saya, tidak kisah di mana saya ditempatkan, asalkan saya mampu memberikan pendidikan yang sewajarnya kepada mereka. Namun, jika diletakkan saya di PPKI LD, bagaimanakah saya mahu mengajar mereka? Hal ini terbukti, setelah hamper tiga bulan saya ditempatkan di PPKILd ini, tidak banyak yang boleh saya sumbangkan kepada mereka. Kasihan murid-murid saya. Mereka tidak bersalah. Saya yang gagal menunaikan tanggungjawab saya sebaiknya lantaran daripada “ikan kembung yang dipaksa hidup di atas darat” oleh mereka yang saya anggapkan tidak bertanggungjawab. Andainya anda dapat bayangkan,anda sedang menutup mata, anda mengajar murid-murid bermasalah pembelajaran, mampukah anda menunaikan tanggungjawab tersebut sebaiknya? Saya rasa sudah tentu tidakkan? Anda bayangkanlah murid-murid bermasalah pembelajaran itu bagaimana. Mereka tidak seperti murid-murid bermasalah penglihatan. terdapat murid-murid yang langsung tidak boleh belajar, terlalu hiper active, dan macam-macam lagi. Hanya yang benar-benar khusus dalam bidangnya sahaja mampu mengajar dengan baik murid-murid itu kerana mereka dilatih dengan pelbagai kaedah yang sesuai untuk mengajar dan mengejar mereka. Bagaimanakah seorang guru yang tidak mempunyai penglihatan untuk menghadapi murid yang hiper active? Dapat anda bayangkan? Logikkah penempatan ini?


Selain itu, rugilah ilmu yang saya dan beberapa orang guru bermasalah penglihatan lain yang senasib dengan saya miliki, andainya tidak dimanfaatkan sebaiknya, dan tidak diletakkan di tempat yang sewajarnya. Andainya saya dan mereka yang senasib dengan saya ditempatkan di sekolah yang betul, sudah tentu, ilmu yang kami miliki hasil daripada apa yang kami pelajari bertahun-tahun di institute-institut pengajian guru mahupun university-universiti dapat dimanfaatkan dengan sewajarnya. Murid-murid yang akan diajar pun adalah murid-murid yang kami mampu kendalikannya, Wang yang dialirkan untuk membayar upah kami pun tidak dibazirkan begitu sahaja lantaran daripada pengendalian tugas yang tidak sempurna.


Tidak adil andainya meminta bayi yang baru lahir berlarikan? tidak adil untuk meminta sang kerbau terbangkan?  Tidak adil untuk meminta orang pekak mendengar radiokan (kecuali Kevin, Kevin boleh dengar radio… manalah Kevin sekarang ya? Hehehe. Lama tak jumpa Kevin.).


Bertindaklah sewajarnya bila kita berada di atas, tiada masalah yang tidak ada penyelesaian. Pelbagai pintu rundingan boleh dibuka bagi memastikan definisi adil itu dapat di praktikkan. Definisi adil? Apa dia ya? Meletakkan sesuatu pada tempatnya. Berbuat senanglah kepada orang bawah kita sebelum mereka mengadu kepada saluran-saluran yang bukan sewajarnnya. Andainya dibuat demikian, tahu pula hendak melenting, katanya tidak disalurkan di tempat yang betul. Bila disalurkan di tempat yang sewajarnya, sehingga sekarang nasib saya dan rakan-rakan yang senasib dengan saya masih belum dibela. Tiga bulan, lama tu. Terlalu lama. Terlalu membazir masa yang telah dilepaskan begitu sahaja tanpa sebarang manfaat yang dapat diberikan. Wallahu a’lam.
 
-Hati Kristal-

Ahad, 8 April 2012

Mengenal ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder)

gambar ini dicuri dari google kahkahkah

Apa?

Hiperaktif adalah istilah yang digunakan kepada kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku yang terlampau aktif dan mengganggu. Kanak-kanak dengan masalah ADHD adalah kanak-kanak yang berkeperluan khas.

Kenapa?

Disebakan oleh;
1.  Faktor fisiologi seperti keturunan, perbezaan fungsi otak dan faktor biokimia dalam badan pesakit. Kanak-kanak yang ibu bapanya mengalami ADHD berkemungkinan tiga kali ganda mempunyai ADHD. Bagi perbezaan fungsi otak, ahli sains mendapati tiga bahagian otak iaitu prefrontal cortex, basal ganglia, dan serebelum kerap berfungsi secara berbeza-beza pada individu dengan ADHD berbanding individu lain. Otak mereka juga dikatakan terdapat kurang aktiviti elektrikal dan kurang tindak balas terhadap rangsangan bagi bahagian-bahagian tersebut.Bagi faktor biokimia, ia dikatakan bahawa neurotransmitter yang memancarkan maklumat daripada tiga bahagian yang disebutkan di atas kepada bahagian lain, tidak dipecahkan dan diserapkan semula dengan sempurna ke dalam otak
2. Faktor persekitaran- Kecederaan otak selepas pranatal akibat pengambilan alkohol, dadah dan merokok oleh ibu. Semasa kelahiran, kecederaan otak berlaku akibat kekurangan oksigen. Demam panas yang teruk juga memungkinkan individu mendapat kecederaan otak yang boleh menyebabkan ADHD. Begitu juga kemalangan yang mencederakan bahagian otak.
3. Faktor yang tidak dibincangkan oleh ahli sains.. mungkin faktor hubungan suami isteri dalam tempoh-tempoh yang tidak dibenarkan...jadi AWAS.. jangan melanggar hukum :) [tolong fikir dan ajukan sebarang kemusykilan jika ada kepada saya]

Ciri-Ciri Umum

  1. Kecelaruan ini adalah berkembang, iaitu bermula sebelum umur 7 tahun dan biasanya boleh dikesan oleh ibu bapa ketika masih kecil lagi
  2. Tidak upaya untuk memberi tumpuan
  3.  Individu ADHD mungkin mempunyai tahap impulsitiviti yang tidak sesuai dengan umur mereka
  4.  Bila dibanding dengan rakan sebaya, murid ADHD kerap dikatakan sebagai tidak boleh diam dan sangat aktif
  5. Murid ADHD menunjukkan kecelaruan tanpa mengira keaadaan dan tempat. Namun begitu petunjuk-petunjuk ADHD lebih menonjol di sekolah disebabkan struktur dan juga jangkaan di situ
  6.  Suka mengalihkan pandangan bila bercakap dengan orang
  7. Perhatikan mata si dia, jika kelopak mata sebelah menyebelah jauh, individu itu mungkin mengalami ADHD atau jika mata si dia selalu meliar, itu di jamin 50% ada unsur-unsur ADHD
contoh kanak-kanakADHD (cuba perhatikan kelopak matanya)

Bimbang?

Tidak perlu terlampau bimbang dengan kehadiran cahaya mata yang mengalami ciri-ciri tersebut kerana semua itu adalah Nikmat Allah yang kita tidak tahu apa hikmahnya. Jika kena gaya dan usaha didikannya InsyaAllah mereka masih boleh dibentuk berdasarkan tahap keseriusan ADHD yang dialami oleh individu tersebut. Murid ADHD kebanyakkannya belajar berdasarkan latihan dan persekitaran yang membantu. Dalam mendidik perlulah ada kelembutan dan ketegasan dan arahan yang jelas terhadap peraturan-peraturan.


Senario
selamat belajar ilmu alam (ini adalah kanak-kanak ADHD)




Cuba perhatikan kelopak mata si dia (kebanyakan buku-buku tidak memasukkan ciri ini kedalam ciri-ciri umum ADHD). Boleh lihat dengan jelas bahawa kelopak mata antara satu sama lain berada berjauhan. Kanak-kanak ini adalah salah satu contoh individu ADHD teruk. Sebelum mendapat didikan dan latihan yang baik dia adalah seorang yang sangat agresif, menyerang rakan sebaya dan guru-guru dengan pensil dan apa sahaja benda tajam. suka meracau, tidur dalam longkang, bawah meja dan sebagainya. Suka mengganggu orang lain, emosi selalu kacau,. tidak boleh memberi tumpuan dan tidak boleh belajar. Ada sikap mencederakan orang lain dan diri sendiri. Tidak boleh berkawan. Malah dia sering ditolak untuk diterima bersekolah pada keadaannya sedemikian walaupun di sekolah khas sendiri. Setelah menjalani didikan yang kena pada cara, extra care, latihan, penegasan, berkawan dan berbuat baik.. sekarang dia sudah boleh berkawan, sudah mengenal siapa guru, siapa kawan, boleh duduk sama-sama belajar [tetapi dia tidak cerdas sebab mengalami masalah lain juga, pekak dan slow learner], ada sifat tolong menolong, tahu peraturan dan sebagainya. Semakin membesar semakin baik.

jadi;
jangan risau... sangat. Kuatkan semangat!

entri seterusnya akan menyentuh secara umum tentang kriteria menentukan ADHD dan keperluan pendidikan. Mungkin akan disertakakan dengan syor-syor medikasi atau sebagainya dan Q & A tentang ADHD


Q & A : Disleksia @ Dyslexia

gambar simpton disleksia

Terangkan punca-punca disleksia.

Disleksia (dyslexia) disebabkan oleh keturunan (genetik),biologi, dan kematangan (Mercer, 1997; Hammond & Hughes, 1999).

Disleksia perolehan dikatakan kesan daripada kerosakan pada otak seperti kecederaan pada otak atau ketumbuhan dalam otak yang dialami sejak kelahiran. Nyatakan empat jenis symptom yang berlainan pada kanak-kanak yang mengalami disleksia perolehan?
(i) Disleksia yang dalam teruk (deep dyslexia) dan dikenali juga (phonemic dyslexia) yang melakukan kesilapan menyebut ketika membaca, yang menyebabkan berubah makna.
(ii) Disleksia phonologi (phonological dyslexia) yang tidak boleh menyebut atau membaca perkataan dan bukan perkataan.
(iii) Disleksia permukaan (surface dyslexia) yang melibatkan gangguan penglihatan seseorang kanak-kanak dalam mendiskriminasi abjad atau perkataan yang rupanya agak sama.
iv) Disleksia huruf (word-form dyslexia) dan dikenali juga sebagai Deterine’s Syndrom di mana seseorang yang mengalami disleksia ini hanya boleh faham apa yang dibaca secara kuat dengan menyebut setiap huruf dalam sesuatu perkataan.

Kesan Utama Disleksia Terhadap Pembelajaran?
Payne dan Turner (1999) telah menggariskan kesan utama dan sampingan disleksia terhadap kebolehan murid untuk belajar.
Kesan-kesan utama disleksia terhadap pembelajaran ialah seperti berikut:

(a) Membaca
Kebolehan membaca adalah penting bagi membolehkan murid mempelajari apa yang tersenarai di dalam kurikulum sekolah.
- menyebabkan murid tidak dapat belajar sendiri.
-rasa rendah diri dan tidak berkeyakinan tentang kebolehan sendiri.

(b) Mengeja
-j/ panjang, kebolehan mengeja akan memberi kesan yang lebih negatif daripada kelemahan membaca.
- menghadkan kebolehan murid untuk menyampaikan pengetahuan yang telah dipelajari di dalam kelas.
-menyebabkan murid mendapat markah yang rendah dalam ujian dan peperiksaan.

(c) Menulis
Masalah utama adalah perbezaan antara kebolehan murid untuk menyampaikan pengetahuannya secara lisan dan bertulis. Kesukaran-kesukaran yang dihadapi oleh murid disleksia akan memberi kesan yang negatif terhadap penguasaan kemahiran menulis tersebut.

(d) Tulisan
Tiga aspek tulisan perlu diambil kira iaitu boleh dibaca, kepantasaan menulis, dan kematangan tulisan. Kelemahan di mana-mana dalam ketiga-tiga aspek ini boleh memberi kesan negatif kepada kebolehan murid untuk belajar. Murid yang menghadapi masalah ini dipanggil ‘dysgraphia’.

(e) Nombor
Kesukaran yang dihadapi di dalam numerasi adalah serupa seperti kesan yang dialami di dalam literasi. Murid menghadapi masalah untuk membaca teks, menulis bentuk digit dan menulis digit bagi sesuatu nilai nombor. Mereka sukar mengenali nombor dari segi membaca teks, menulis bentuk digit dan menulis bagi sesuatu nilai nombor. Murid yang menghadapi kesukaran yang amat sangat dengan nombor dikenali sebagai ‘dyscaculia’.

Terangkan langkah-langkah pengajaran menggunakan kaedah multi sensori kepada kanak-kanak disleksia?
 Pendekatan Multi – Sensory merupakan pendekatan yang sesuai bagi mengajar kanak-kanak disleksia.yang mengabungkan beberapa deria seperti dibawah
(a) auditori;
(b) visual;
(c) oral; dan
(d) kinestetik.

Bagi menjalankan kaedah pengajaran ini, gabungan kesemua deria dijalankan serentak.
Penggunaan huruf-huruf yang dibuat daripada kayu di mana pelajar boleh:
(a) Mendengar guru menyebut bunyi daripada huruf-huruf;
(b) Melihat huruf-huruf tersebut;
(c) Menyebut kembali huruf-huruf tersebut; dan
(d) Menekap huruf-huruf tersebut menggunakan jari.

Selain itu pelajar juga boleh menggunakan pasir ataupun garam dengan menggunakan dulang sebagai wadahnya. Pelajar boleh:
(a) Mendengar bunyi huruf yang disebut oleh guru;
(b) Melihat huruf yang ditulis oleh guru di atas papan hitam;
(c) Mengulang kembali huruf yang di sebut oleh guru;
(d) Menulis kembali huruf tersebut di atas pasir

*tulisan ini adalah kesinambungan daripada tulisan sebelumnya http://mince-pendidikankhas.blogspot.com/2011/05/disleksiadyslexia.html
*dipetik dari pelbagai sumber untuk kemudahan dan perkongsian ilmu