Rabu, 12 September 2012

Mengenal Autisme #1

Haikal - Kanak kanak autisme teruk yang pandai

Di dalam Pendidikan Khas dan dunia kanak-kanak istimewa, salah satu jenis penyakit/kecacatan yang sering diberi tumpuan oleh ramai orang adalah Autisme. Tidak seperti kecacatan lain, autisme seolah-olah mendapat tempat di hati banyak orang untuk diperkatakan, malah saya kerap juga terjumpa artikel-artikel tentang autisme di dada-dada akhbar tempatan. Jika kita rajin ke kedai-kedai buku, kita juga mungkin akan mendapati bahawa di sana terdapat banyak buku tentang autisme. Dengan sebab itulah maka, saya memerihalkan subjek ini agak lewat daripada subjek kecatatan yang lain.

Apa?
  • Istilah autisme berasal daripada perkataan autos yang bermakna 'diri sendiri' dan isme yang bermaksud aliran/faham/mazhab. 
  • Dalam bahasa mudah, autisme bolehlah simply diberikan maksud kanak-kanak/ orang/ individu yang berada dalam dunianya sendiri.
  • Terlalu banyak definisi yang diberikan oleh beberapa pakar tentang autisme yang berbeza-beza mengikut kefahaman masing-masing tetapi pada dasarnya adalah hampir sama
  • Jika ditelaah di dalam kebanyakan buku, sudah pasti anda akan berjumpa dengan definisi daripada persatuan Autisme Amerika Syarikat, namun untuk saya, saya memilih definisi dari NASOM untuk dikongsi bersama
    • " Autisme adalah satu kekurangan seumur hidup dan menampakkan kesannya dalam masa 30 bulan yang pertama seseorang bayi. Komunikasi antara mereka adalah terbantut dan mereka tidak dapat berhubung dengan secara langsung. Mereka juga mempunyai masalah tingkah laku. Kerap sekali, mereka menunjukkan kelebihan dalam bidang matematik atau kemahiran mekanikal ataupun dalam seni muzik, "rote memory" dan lain-lain."
Punca?

Punca sebenar autisme adalah kompleks dan dalam kebanyakan kes, punca yang menyebabkan autisme adalah tidak diketahui. Autisme mempunyai kecelaruan yang berbagai-bagai dan kajian -kajian terkini lebih tertumpu kepada masalah genetik, masalah semasa dan selepas kelahiran, kefungsian otak, dan faktor-faktor neurochemical dan imunilogikal. Saya rasa, tidak perlu saya terangkan dengan panjang dan lebar tentang ini kerana mod penulisan dalam blog ini bukanlah berbentuk tulisan ilmiah tetapi adalah berbentuk user-friendly yang bertujuan memberi maklumat serba ringkas tetapi padat. (harapnya)

Ciri-Ciri?

Komunikasi
  1. Perkembangan bahasa lambat ataupun tiada langsung
  2. Tidak mengendahkan apa yang dikatakan oleh orang lain seakan-akan dia seperti menghadapi masalah pendengaran
  3. Jarang menggunakan bahasa
  4. sukar diajak berbual.. kadang kala sahaja bercakap atau yang lebih berat langsung tak mahu bercakap
  5. Jawapan tidak selari dengan soalan..(tanya lain, jawab lain)
  6. suka mengulang perkataan
Sosial
  1. sesetengah mereka suka bersendirian..
  2. susah nak dapat kontak mata bila bercakap denganya
  3. sesetengah mereka tidak suka bermain dengan rakan
  4. suka menjauhkan diri dan duduk disuatu sudut / jika bersama orang ramai, dia seperti 'lost'..senyap je.
Gangguan Deria
  1. Sensitif pada sentuhan
  2. tidak suka dipegang ataupun dipeluk
  3. sensitif dengan bunyi yang kuat dan menutup telinga
Pola Bermain
  1. Tidak suka bermain dengan rakan sebaya;
  2. Cara bermain tidak mengikut kebiasaan;
  3. Suka objek yang berputar;
  4. Suka memutar-mutar objek; dan
  5. Obses atau menyukai sesuatu benda secara berlebihan
Tingkah Laku
  1. Samaada hiperaktif atau hipoaktif
Emosi
  1. sering marah, ketawa dan menangis tanpa sebab.. Biasa mengamuk jika tidak dituruti kemahuannya (Biasanya kepada autistic yang hiperaktif)
  2. Merosakkan apa saja yang ada disekitarnya jika emosi terganggu.
  3. Tiada rasa simpati dan tidak memahami perasaan orang lain.

Ciri-ciri yang saya senaraikan di atas bukanlah menggambarkan bahawa seorang kanak-kanak itu akan ditakrifkan autisme jika semua ciri-ciri yang disebutkan tadi ada pada diri mereka. Memadai ada dua tiga ciri, yang dominan dan menjadi sifat yang kekal lama, maka ia mungkin menghadapi autisme. Seorang kanak-kanak autisme dan seorang kanak-kanak autisme yang lain mungkin mempunyai perbezaan atitud. Ada kanak-kanak autisme yang hiperaktif, ada kanak-kanak autisme yang hypoaktif (pasif/slow). Ada yang mempunyai kelebihan dalam bakat melukis, ada yang dikurniakan pandai dan suka menyanyi. Satu perkara yang 'frequent' yang kanak-kanak autisme lakukan ialah ia melihat sesuatu benda secara keseluruhan, sebagai contoh perkataan se ko lah, mereka biasanya akan melihat sebagai sekolah. Pembelajaran secara sukukata mungkin tidak memberikan kesan yang positif bagi mereka.

baca juga untuk cerita
http://mince4am.blogspot.com/2009/04/haikal.html



Selasa, 4 September 2012

Q&A Cerebral Palsy / Palsi Serebral (Spastic/k)


Apa?

1) Kecacatan anggota disebabkan oleh cacat hubungan saraf di antara bahagian otak dengan bahagian badan semasa dilahirkan atau pada awal usia. "Cerebral" berkaitan otak, manakala "palsy" bererti tidak dapat mengawal otot-otot dengan sepenuhnya. Palsi juga dikenali sebagai kelumpuhan anggota bahagian tangan, kaki, leher, tulang belakang atau pinggul

2) Ia berkeadaan kekal, tidak progresif - yakni keadaan kecacatan otak itu tidak akan menjadi lebih serius atau tenat


Nyatakan jenis-jenis palsi sereberal dan ciri-cirinya.

Palsi sereberal spastik: pergerakan anggota badannya seakan-akan tersekat dengan diikuti dengan satu lonjakan tenaga menyebabkan pergerakan tidak terkawal.

Palsi sereberal athetoid: pergerakan anggota badan (tangan) meliuk-meliuk ke hadapan dan ke belakang, membengkok dan kemudian akan melurus dalam satu pergerakan ke hadapan yang amat perlahan apabila hendak mencapai sesuatu benda.

Palsi sereberal ataxia: pergerakan semasa berjalan seakan beroleng di dek kapal dilambung ombak, atau seakan-akan gaya jalan seorang yang mabuk.

Palsi sereberal gabungan: gabungan pelbagai palsi di atas dengan komplikasi yang lebih serius berkaitan dengan kecerdasan otak yang lemah.


Nyatakan jenis kategori lain palsi sereberal dan ciri-ciri pengkategoriannya.


Monoplegia: kelumpuhan satu daripada tangan kiri atau kanan
Hemiplegia: kedua-dua kaki dan tangan sebelah kiri atau kanan yang kelumpuhan
Diplegia: keadaan kelumpuhan kaki lebih serius berbanding kelumpuhan tangan
Paraplegia: mana hanya anggota bahagian kaki sahaja yang berpalsi
Quadriplegia: kesemua anggota kaki dan tangan kelumpuhan.


Bagaimanakah kaedah pemilihan serta penilaian yang dijalankan oleh pihak KPM ke atas kanak-kanak palsi sereberal yang hendak ditempatkan di sekolah. Ke manakah penempatan kanak-kanak itu seterusnya?

Ujian khas atau pemerhatian akan dilakukan oleh pakar-pakar ini untuk menentukan kesesuaian dan kepentingan kanak-kanak palsi sereberal berdasar akan tahap kelumpuhan mereka. Penentuan dibuat berdasar akan kecacatan fizikal (pelbagai kecacatan) dan kerencatan akal yang dialami.

Untuk golongan kanak-kanak sereberal palsi ringan di tempatkan di sekolah biasa. Kanak-kanak kelumpuhan sederhana dan yang tidak terlalu bergantungan kepada orang lain akan ditempatkan dalam Program Intervensi, Program Inklusif dan Program Pendidikan Khas – program pendidikan pemulihan khas dan keperluan khas.

Kes-kes kelumpuhan serius akan ditempatkan di pusat-pusat khas kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Badan-badan/ Persatuan Sukarela (NGO).


Apakah kaedah rawatan atau terapi yang dijalankan oleh pusat-pusat asuhan JKM dan NGO terhadap kanak-kanak ini?

• Palsi Sereberal boleh dikawal melalui mengambil medikasi (contohnya, Diazepam, Baclofen, Botox) atau melalui surgeri/pembedahan (contoh, ‘dorsal rhizotomy’ atau ‘spinal fusion’) yang boleh mengurangkan ketegangan dan kecerutan otot-otot lalu mengurangkan pergerakan luar biasa anggota badan pengidap kelumpuhan itu.

• Alat bantuan ‘orthotics’ yang boleh membantu meluruskan anggota badan selain mengurangkan berlakunya kecerutan otot dapat membantu kanak-kanak berpalsi dalam pergerakan mereka.

• Untuk mengatasi masalah motor atau pergerakan, kerusi roda dan alat bantuan berjalan (‘walker’) digunakan untuk membantu pergerakan mereka yang keadaan palsinya lebih serius.

•Alat gantian anggota badan yang digerakkan oleh stimuli elektrik sedang giat dimajukan kini.

• Untuk golongan palsi yang serius atau ekstreme, mereka perlu diletak di dalam alat boleh-ubah kedudukan (‘positioning equipment’) untuk mengelak berlakunya keresah kulit, menggalakkan pertumbuhan tulang, serta untuk keselesaan mereka secara keseluruhannya.


Bolehkah saya tahu pusat-pusat asuhan dan NGO apa yang boleh terima kanak-kanak ini jika tidak diterima untuk bersekolah?

1) PDK - Pemulihan Dalam Komuniti dibawah jabatan kebajikan Masyarakat. Biasanya kemudahan PDK ada di setiap mukim. Pertanyaan lanjut boleh dikemukan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat di daerah masing-masing.

2) SCASFT - Spastic Children for Selangor and Federal Territory di Petaling Jaya. NGO ini ada banyak untuk ditawarkan. (website ada di bar sisi sebelah)


Apa yang perlu dilakukan jika dianugerahkan kanak-kanak sebegini?

a) Terima hakikat bahawa anak anda adalah seorang kanak-kanak istimewa. Tidak perlu berasa malu dengan anugerah Allah kerana setiap pemberian yang diberikanNya mempunyai hikmah-hikmah yang tertentu yang kadang-kadang tidak terfikir oleh akal kita. Khazanah Allah itu Maha Luas. Kadang-kadang kanak-kanak sebegini punca bertambahnya rezeki kita, tapi tidak ramai yang mampu menghisabnya dengan baik.

b) Cari bantuan daripada pakar perubatan, guru pendidikan khas, ahli psikologi, institusi ataupersatuan-persatuan yang terbabit dan sebagainya

c) Terima anak anda sebagai anak anda. Cuba elakkan berfokus kepada kelemahan dan kegagalan anak anda tetapi bertumpu kepada kekuatannya

d) Pastikan anda berada disisi anak anda. Bagi golongan ibu, jika memerlukan berhenti bekerja, berhentilah bekerja kerana kemuliaan seorang wanita yang berkahwin adalah berada di rumah, apalagi jika dianugerahkan Allah dengan anak sebegini. Cuba fahami dan hayati bahawa rezeki itu asal muasalnya datang dariNya, bukan dari profesion yang telah kita duduki


Bolehkah anak-anak ini didik supaya boleh belajar Akademik?

Boleh. tetapi jangan terlalu memberi harapan yang terlalu tinggi. Seperti saya katakan tadi jangan berfokus kepada kelemahannya.

Dan perlu diingat bahawa penyakit ini berkait dengan otak dan saraf, maka fikir-fikirkanlah. Jika dikurniakan anak sebegini yang boleh belajar, maka itu sudah dikirakan satu bonus. Tidak perlu memikirkan sangat untuk menjadikan anak sebagai professor sebagaimana gambar dibawah, tetapi boleh mencuba.



p/s: gambar2 diambil dari sumber google images

" Ingatlah sesungguhnya kepunyaan Allah semua yang ada di langit dan semua yang ada di bumi".. - Yunus:10:65
"Dan tidak suatu binatang  melata* [*makhluk Allah yang bernyawa] pun di muka bumi melainkan Allahlah yang memberi rezekinya"... - Huud: 11: 6