Ahad, 5 April 2009

PENDIDIKAN KHAS - Apa dan Untuk Siapa?

Apa?

Suatu ketika dahulu bila sebut “Pendidikan Khas” sahaja, pasti ramai yang terbayangkan Maktab Perguruan Ilmu Khas (dahulunya dikelali sebagai Special Teacher Training Institute STTI kini ditukar lagi kepada Institut Pendidikan Guru Ilmu Khas), sebuah institusi pendidikan yang melahirkan graduan-graduan pendidikan khas yang terawal bagi membantu mengembangkan lagi pendidikan khas di Malaysia. Namun kini, selain maktab tersebut, banyak institusi-institusi pengajian mula menjadikan pendidikan khas sebagai salah satu daripada program mereka seperti Institut Pendidikan Guru Kota Bharu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia. Perkembangan ini menunjukkan bahawa pendidikan khas mula mendapat perhatian pelbagai pihak. Pertambahan bilangan guru biasa yang melanjutkan pelajaran ke bidang ini juga adalah bukti pendidikan khas semakin diminati untuk dikaji. Apakah Pendidikan Khas?

Pendidikan khas didefinisikan Hallahan dan Kaufman sebagai satu bentuk pendidikan yang disediakan untuk memenuhi keperluan kanak-kanak berkeperluan khas. Sementara itu, Gargiulo (2003) pula menjelaskan pendidikan khas sebagai sebuah program pengajaran yang direka bentuk bagi memenuhi keperluan pelajar luar biasa. Ia mungkin memerlukan penggunaan bahan-bahan, peralatan dan kaedah pengajaran khusus. Friend (2005) pula cuba melebar-luaskan idea Gargiulo dengan mengatakan pendidikan khas adalah pengajaran yang direka bentuk khusus bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang kurang upaya. Pengajaran ini mungkin dikelolakan dalam bilik darjah, di rumah, di hospital atau institusi.
Manakala Mansor (2005), menyatakan bahawa program pendidikan khas di Malaysia merupakan satu usaha yang berterusan untuk menggalakkan perkembangan optima seseorang sebagai seorang yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara

Siapa?

kanak-kanak yang memerlukan pendidikan khas adalah mereka yang kebiasaannya memiliki ciri-ciri tertentu yang menghalang mereka daripada mengikuti pelajaran seperti kanak-kanak normal yang lain. Mereka mungkin memiliki satu atau lebih gabungan kecacatan dan kekurangan jika dibandingkan dengan kanak-kanak normal yang akhirnya menyebabkan mereka memerlukan kepada satu bentuk pendidikan yang berbeza yang sesuai dengan kecacatan dan kekurangan yang mereka miliki

lagi? hubungi penulis

Tiada ulasan:

Catat Ulasan